Wednesday, March 28, 2012

[Warkah Buat Mak]

Assalamualaikum

Mak,
Anak mak yang ini kini anak rantau
Tegar melangkah demi secangkir ilmu
Walau bersarang sejuta rindu padamu
Langkahan tetap kugagahi
Demi nasib untuk ku bela

Mak,
Anak mak yang ini dulunya
Acap kali mengguris hatimu
Entah berapa juta torehan luka pada hatimu
Kerana bicaraku yang melampaui batas

Mak,
Aku sujud pada kakimu
Mohon ampun atas khilaf yang tak terhitung
Mak,
Aku mahu kembali pada dakapanmu
Merawat segala pedih hatimu
Mengukir senyum pada bibirmu
Kerana aku benar menyayangimu,mak

Mak,
Andai mampu aku jerit pada dunia
Aku mahu bilang berulang kali
Aku sayang mak
Sampai syurga

Mak,
Aku mahu jadi anakmu
Yang setia di sisimu saat sukar dan senangmu
Aku mahu jadi anakmu
Yang tetap di sampingmu saat akhir hidupmu
Aku mahu jadi anakmu
Yang memandi mengafankan tubuh kakumu kelak
Aku mahu jadi anakmu
Yang menadah tangan berdoa agar kuburmu diterangi cahaya
Aku mahu jadi anakmu
Yang memimpin tanganmu ke syurga
Aku mahu jadi anakmu
Yang berkasih sayang denganmu di taman syurga
Kelak..insyaAllah

Mak,
Andai aku pergi dulu sebelummu
Aku mahu jadi anakmu
Yang sudah melunaskan segala tanggungjawabku padamu
Aku mahu jadi anakmu
Yang mana pemergianku tidak diratapi
kerana perginya aku bertemu Allah Yang Memilikiku
Aku mahu jadi anakmu
Yang terbaik sebelum akhir hayatku

Mak,
Warkah ini mungkin tidak kamu baca
Tapi mak,
Ingin aku katakan
Anakmu yang ini
Sedang menjadi anak yang mampu dibanggakan mak
Sedang menjadi anak yang membawa sinar Islam dalam keluarga
InsyaAllah..

Jika dihitung pengorbananmu,
pastinya akan aku lelah terduduk
kerana terlalu banyak bahagiamu yang kau korbankan
untuk anak-anakmu
Mak, peluk cium dari anakmu
Yang berada di perantauan
Terlalu merinduimu
Walau tak mampuku luah dengan kata

Aku ingin bersamamu mak
Di dunia
bahkan
di syurga yang kekal abadi


Salam sayang buat mak,
Zahirah
280312
Anakmu di Beijing

Sunday, March 25, 2012

Jatuh Bangun Mencari Cahaya

Alhamdulillah.
Masih diberi peluang bernafas dan menconteng dinding hati ini.
Allah masih memberi ruang untuk mencari cahaya.
Untuk kamu juga.


Mencari cahaya itu tidak semudah disangka
Kerana cahaya itu Allah yang pegang
Mahu cari itu perlu dekati DIA
Tawan hati-Nya

Firman Allah: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasih tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” 
(Surah Al-Qasas ayat 56) 

Aku mencari cahaya itu
Tapi selalu juga aku samar
Lalu jatuh tersungkur
Meraba dalam kelam
Mencari cahaya

Ketika aku lelah mencari
Allah datangkan cahaya tidak semena-mena
Merenggut rasa jahiliyah dalam hati
Menempatkan rasa kekosongan pada jiwa
Allah masih mahu aku berusaha

DIA beri rasa kosong, rasa sepi
Agar aku cari DIA untuk isi lompong itu
Tapi benar sukar
Sukar untuk memastikan kualiti pencarian
Cahaya itu akhirnya malap kembali

Tapi jangan pernah berhenti berusaha
Cahaya itu ada di sudut hati
Cuma perlu teroka hati
Usaha yang termampu

Dan jatuh bangun aku
Dalam pencarian cahaya
Hanya aku dan Allah tahu kepedihannya
Maafkan aku sahabat
Kerana tika ini aku sedang mencari
Terkurang masa untuk melakar bahagia kalian

Thursday, March 22, 2012

::Berani Untuk Melakar Mimpi::

Dreams Create Happiness
dare and the world always yields.
if it beats you sometimes,
dare it again and again
and it will succumb.

AIM for the MOON
if you don't reach it
AT LEAST
You will Land on the Star

Mimpi itu impian
Impian itu yang menjadi jurupandu hidup
Kerana itu
Lakarlah impian setinggi bintang
Walau tak tercapai
Sekurang-kurangnya
Ia akan menyuluh perjalanan

"Short entry but I hope it will reminds you how to build a dream"
"For SPM leavers '94,your result doesn't show yourself in future,so,keep on trying."
“说比做,容易”

Berani Untuk Melakar Mimpi

Sunday, March 18, 2012

Rasa Dan Kegagalan

Dan rasa itu. Kembali.
Merajai hati. Menjajah minda.

Dan rasa itu. Menyentap fikiran.
Mencalar luka. Mematikan jiwa.

Dan rasa itu. Kembali.
Membingungkan fikiran. Memutarbelitkan kefahaman.

Dan rasa itu. Rasa jiwa menjadi hamba.
Rasa nyalaan obor semangat. Mahu berjuang demi ummah.
Kini hilang. Hampir semua barangkali.

Dan rasa itu. Telah hilang.
Tergagau mencari. Meraba di setiap sudut.
Andai saja ketemu. Tapi hampa.

Allah. Aku hambaMU.
Hamba yang Kau pernah sentuh hatinya suatu tika dahulu.
Hamba yang Kau tak pernah penat bawa kembali ke jalanMu.
Dan Allah. Aku hambaMU.
Datang sujud mengaku padaMU.
Yang aku sedang jatuh lagi.
Yang aku telah hilang rasa itu lagi.
Yang aku telah gagal.

Ya Allah.
Bantu aku ini. Kirimkan aku rasa hamba itu.
Jangan biarkan hati aku kembali mati.
Jangan biar jahiliyah kembali menguasai aku.
Bantu aku.

Mana pergi dakwah yang pernah menyentuh aku?
Mana si dia yang  berjanji ada untukku?
Sudah tinggalkan aku?
Mungkin.
Aku mungkin nampak kuat.
Tapi.
Aku amat lemah.
Aku mahu kembali kepadaMu..:'(


Saturday, March 17, 2012

TIME :: NIAT





"Masa itu ibarat mata pedang yang tajam, 
jika kita tidak memotongnya,
maka ia akan memotong kita"

"If we have only one day and we appreciate it,
actually we can do a lot of things"
Petikan kata-kata ini daripada filem "TIME"
dan ya.. filem ini mungkin dilihat 'nonsense'
tetapi sebenarnya ada mesej yang sangat bernilai
benarlah yang jika kita benar-benar menghargai masa,
1 hari yang kita miliki, sudah cukup untuk kita melaksanakan
setiap tugas yang perlu dibuat seumur hidup
Masa itu perlu kita kejar
kerana tugas kita ialah beribadah kepadaNya
seharusnya, semakin bertambah masa, semakin bertambah ibadah..

"Andai manusia itu tahu bila kiamat itu tiba,
pastinya manusia akan bergegas"

Bila bicara tentang masa,
manusia akan kata masa itu emas,
tetapi adakah kita benar-benar menghargai masa?
adakah kita mengejar masa?

Masa itu hamba Allah S.W.T.
Masa itu punya urusannya tersendiri
Masa juga berkejar melakukan tugasnya
Masa itu tidak punya waktu untuk menunggu manusia

Dunia kini..
Manusia tidak lagi mengejar masa
tetapi mengejar kertas yang dicetak nilai di atasnya
Apakah kertas itu lebih bernilai?
Atau masa yang tak pernah berhenti berlari?

=============================================

Niat itu perlu sentiasa diperbaharui
kerana niat itu paling utama
kerana niat itu pemandu diri yang terbaik
kerana niat itu mampu mendidik rasa dalam diri
Segala yang kita lakukan perlu bergantung pada niat



Tuesday, March 13, 2012

Demi Yang Namanya Persahabatan

Dulu, ego ku tinggi melangit
Sayang tapi tak terucap
Tapi jejaki Beijing yang pada dasarnya hanya sebuah tempat
Yang penduduknya ramai tapi sibuk dengan hal sendiri
Tiada apa pun sebenarnya di Beijing
Tapi bumi Beijing ini telah menamatkan egoku
telah menyulam kasih dalam diri
membenih subur rindu yang diredhai
aku mengenal kembali yang namanya persahabatan
tapi dari sudut berbeza
sukar diungkap jua dinilai
perlu dirasai sendiri
betapa manisnya ukhuwah di sini



di sini aku mengenal Wan Syaza Syahirah
Ukhuwah yang dibina bukan semudah disangka
Mengambil masa lama untuk membenih sayang yang paling dalam
dan ya..
kini aku benar menyayangi dia
sangat menyayangi dia
yang pasti aku tidak mahu kehilangan dia

wahai sahabat
aku mungkin tak sempurna
tapi aku cuba untuk melengkapi kamu
aku mungkin tak mampu buat kau tersenyum selalu
tapi aku cuba untuk bahagiakan kamu

credit to wan syaza syahirah..

Saturday, March 10, 2012

[Senyum Sang Bulan]

Malam itu.
Bulan indah menyimbah cahaya.
Terang menyuluh jalan manusia.
Bulan itu.
Tak pernah gagal melakar bahagia para manusia.
Tak pernah serik memberi sinar pada hati hamba.

Senyum sang bulan itu
Mungkin tidak nampak pada mata kasarnya manusia.
Tapi pasti sang bulan itu sedang mengukir senyum melihat
kerenahnya manusia.

Sang bulan itu.
Datangnya mengikut fitrah.
Menyinar malam tapi tidak memberi bahang
Kerana malam manusia itu perlu rehat
Allah telah tetap yang terbaik.

Sang bulan itu.
Sentiasa senyum.
Bersinar. Berseri.
Melerai seketika kekusutan manusia.

Sang bulan itu.
Menjadi saksi tahajudnya manusia.
Menjadi penonton tangis taubat manusia.
Menjadi teman setia kerinduan manusia pada Pencipta.

bicara sang bulan tidak kita fahami
kerana dia ada bahasa tersendiri
senyum saja.

Sang bulan itu.
Lambangnya manusia yang bergelar da'ie
Bezanya hanya pada tempoh tugas da'ie
Da'ie tak pernah berhenti
tak pernah penat.
kerana Allah tak pernah penat mengirim rahmat.

Wednesday, March 7, 2012

Sudah Banyak Yang Allah Bagi

Kita buka mata hati dan tadabbur alam ini
Adakah kita nampak Allah di setiap penjuru?
Mungkin ada yang dengan zuhudnya mampu melihat kebesaranNya..
Sedang masih ada yang bongkak memandang langit
Tidak nampak kebesaranNya

Aku berjalan meneliti alam
Walau keseorangan tapi aku rasa Allah itu dekat
Aku pandang sekeliling, cuba untuk memahami ciptaanNya
Aku lihat seorang wanita pertengahan umurnya
Cantik.
Kelihatan sempurna.
Wajahnya sangat bahagia.
Senyumannya nampak bangga.
Tapi.
Lihat kakinya.
Saat dia menapak.
Terhencut-hencut.
Allah.
Air mata aku mengalir.
Bukan kerana kasihan dengannya
Tapi kerana aku jarang sekali mensyukuri nikmatnya.
Dia mampu bangga dengan diri,senyum bahagia walau tidak sempurna fizikal
Sedang aku, sempurna belaka.
Tapi, mahu senyum kadang payah,
Apabila masalah melanda, lemah longlai saja.
Aku dan dia sama saja.
Hamba Allah yang dilahirkan untuk memakmurkan alam.
Tapi kenapa berbeza personaliti?
Sendiri jawab wahai diri

Tadabbur alam tak akan pernah berhenti
Setiap langkahan pasti akan merasai perasaan yang berbeza
Melihat ragam melihat alam
Dicipta berbeza oleh Allah pasti bersebab
Kaji selagi mampu tetapi perlu terima dengan hati terbuka


Yang hidup pasti akan mati. Yang berbeza cuma giliran masa untuk pergi bertemu DIA bersatu dengan tanah. Terkilan kerana tak ada di sisi atuk saat dia menutup mata selamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T. tiada manusia yang akan terlepas daripada sakaratulmaut. Sedih tetap sedih. Tapi perlu direlakan jua pemergian arwah kerana dia sudah dipanggil Yang Maha Pencipta. Tugas aku hanya berdoa agar diampunkan dosa arwah kerana telah terputus semua perkara apabila mati kecuali amal soleh, sedekah dan doa anak yg soleh.. Cuba untuk menjadi cucu yang soleh utk arwah. Hati aku sedih tapi telah aku berjanji dengan seorang sahabat.. Sadness will never erase my smile..!

Friday, March 2, 2012

Betulkan niat

Assalamualaikum..no more readers yah...:)

Alhamdulillah sangat-sangat sebab berjaya privatekan blog.. Mula-mula rasa berat nak tinggalkan viewers tapi saya kena betulkan balik niat..kenapa saya buat blog? kenapa saya tulis entri-entri islamik?

Saya perlu betulkan kembali.. Gusar andai saya punya hati dah ubah niat sebenar. Saya menulis luahan hati dan apa yang saya lalui. Ingin dikongsi dengan pembaca untuk kebaikan bersama. Bukan untuk dapatkan followers yang ramai. Bukan nak pujian. OK. Itu sepatutnya niat awal saya. Tapi syaitan tak pernah penat nak kacau hati manusia. Saya tak tahu adakah niat saya pada awalnya masih sama atau tidak.

Jadi,saya decide utk privatekan dulu. Dan saya harap niat untuk private nih bukan sebab nak orang rindu saya. Nak tengok berapa ramai yang tercari-cari saya tapi sebab saya tak nak hati terpesong. OK. So, kena betulkan niat lagi..Huh..! penat jaga niat jaga hati tapi mohon ALLAH bantu..



Thursday, March 1, 2012

Permulaan Yang Baru

Semester II bermula..
Mula-mula sangat malas ke kelas
Dah lama cuti kan..
Tapi gagahkan juga sebab dah tanggungjawab
Alhamdulillah..kelas berjalan dengan baik
Laoshi-laoshi baru hen bucuo le
Boleh terima..

Dari segi pembelajaran
Alhamdulillah, sejak dah belajar beberapa bulan
Apa yang laoshi cakap, dah boleh tangkap
So, tak ada lah susah sangat kan nak faham

Semua laoshi bagus sebenarnya
Tak ada yang tak bagus
Allah dah beri laoshi terbaik untuk kita
Kita kena terima sebab lain orang lain cara
Aku dah biasa dengan cara pengajaran yang serius
So, tak ada lah takut sangat
Cuak juga tapi kadang-kadang

Permulaan yang baru
Harap dapat capai impian yang tertulis
dalam diari hati

Urm..saya sangat bahagia
Kerana saya melihat dia bahagia
=)