Wednesday, October 10, 2012

Terfikir Untuk Mengalah


bunga yang memekar...berikan aku kesegaranmu..
walau secebis, agar aku mampu teguh,
seteguh dahanmu..

Agak lama aku tidak mengukir kata
Menghilang? 
Bukan. Tapi aku sedang mengumpul kekuatan.
Bukan mudah menulis bicara andai lemah
Kerana tulisan pasti akan kelihatan buruk.

Sepanjang ketiadaan aku dalam ruang ini,
Di dunia realitinya, aku acap kali terfikir untuk mengalah
Jiwa rasa melemah seiring iman yang turun naik
Jujur aku penat berfikir..
Andai mengalah, aku akan hilang identiti diri
Andai bertahan, aku akan sentiasa kepenatan
Justeru, aku menangis
Moga-moga air mata mampu membasuh hati yang kotor,
Moga-moga air mata mampu membina kekuatan,
Moga-moga Allah sentiasa membantu menahan tubuh aku dari terjatuh.

Dan ya, saban malam air mata mengalir tanpa disedari,
tiada esak tangis tapi butir jernih itu mengalir
membasahi bantal tidurku,
membasahi kerudung putihku.
Aku tidak penat menangis, bahkan aku rasa satu kelegaan
Saat itu juga fikiran melayang kembali pada dosa-dosa lalu.
Terlalu banyak aku taburkan duri di atas bumiNya
Aku malu untuk mendongak

Aku terfikir untuk mengalah
Tapi orang di sekelilingku mengharap aku kuat
Dan aku tahu, Allah juga tak mahu melihat aku lemah.
Dugaan DIA turunkan untuk menguatkan aku, mengajar aku.
Kerana itu, apabila aku terfikir untuk mengalah,
Aku cepat-cepat memikirkan sebab aku bertahan selama ini.

Manusia lain tidak akan tahu apa yang aku deritai,
Tapi aku juga tidak tahu apa yang mereka deritai,
Allah saja yang tahu apa yang manusia tanggungi,
Itu namanya dugaan.