Thursday, February 28, 2013

Ada Seolah Tiada

Kehidupan aku berjalan tiada henti
Terus menjadi hamba patuh diperintahi
Dugaan datang silih berganti
Diri lemah terus teruji

Dia depan mata tapi semangat tiada
Dia bicara tapi bahagia tiada
Dia makan minum tapi selera tiada
Dia ada tapi seolah tiada
Dia wujud tapi aku rasa hilang dia

Siapa dia?
Ibu tercinta.
Lumpuh.
Sakit.
Berbulan-bulan.
Hingga kini.

Aku tahu dia depan mata
Aku dengan dia bicara bersuara
Tapi hati aku hati dia menangis berdiam
Berharap dia kembali sediakala

Dia sedar ketawa gembira
Tapi kerap sedih meratap jua
Aku di sisi meruntun hiba
Hilang arah cara menenangkan dia

Aku rindu dia
Walau dia depan mata
Tapi dia seolah tiada
Terbaring lesu tidak bermaya

Aku rindu masakan dia
Aku rindu belaian dia
Aku rindu semangat dia
Aku rindu ketawa ikhlas dia
Aku rindu berjalan dengan dia
Aku rindu itu semua

Aku tinggalkan dia dengan hati kelam berat
Tak sanggup dia hilang dari pandangan perit
Tapi tanggungjawab masih teguh di bahu menjerut
Dan aku tetap pergi demi dia


"Pulangnya aku ke Malaysia bukan semata-mata kerana cuti semester tapi dengan niat untuk di sisi mak dan menjaga dia sebaik mungkin. Aku rindu dan benar aku rindu. Aku rindu peluk cium dia. Aku rindu semangat dia. Aku harungi musim peperiksaan aku untuk pertama kali tanpa kata-kata semangat dia. Tanpa panggilan telefon dia saban pagi mengejutkan aku untuk belajar awal pagi. Hampir 4 bulan aku rasa kehilangan. Kehilangan sentuhan seorang ibu yang sebelum ini menguatkan aku. Di Malaysia, masa aku hanya untuk menjaga mak. Tiada masa berfoya-foya dan tiada masa mengeluh penat. Letih, lesu tapi aku bahagia. 1bulan menunaikan tanggungjawab sebagai anak, aku diuji bukan sahaja fizikal tapi mental kebanyakannya. Sabar aku teruji. Sangat teruji. Saban hari aku menangis kerana kurangnya sabar dalam diri. 

Sekarang aku sudah kembali di Beijing. Dan aku rindu rutin menjaga mak. Pagi pukul5 sudah sedia bangun uruskan mak. Dan tugas aku tak berhenti sehingga pagi esoknya. Berterusan. Tiada henti. Tidur tak menentu. Makan kucar-kacir. Tapi aku gembira."

Wednesday, February 20, 2013

Hari-hari Terakhir

Mengira detik akhir ini
Bukan menyenangkan hati
Tapi makin menyesakkan diri
Memikirkan mengapa hati rasa begini

Makin mendekat tarikh pemergian
Makin menyapa bau tanah komunis
Makin kesulitan membelit pendirian
Makin membisu bibir mengeras

Mengapa rasa sedemikian?
Pada hari-hari terakhir ini
Fikiran terus meligat
Biarlah..
Sudah hari-hari terakhir pun..
Sudah tak bisa diundur.
Redha. Sabar. Tawakal.
Itu pertahanan
Doa?
Itu senjata
Semoga berjaya.

Sunday, January 27, 2013

Pembawa Cahaya

Tarbiyah..
Jalan takdir bagiku
Menyesal?
Tidak sama sekali
Tercampak ke jalan ini
Bukan satu kebetulan yang menyedihkan
Tapi takdir yang menerangkan kegelapan
Hati yang dulunya seperti tin kosong
Kini terisi sedikit di jalan ini
Tapi ada kerisauan.
Di jalan ini adakah aku..
Antara yang tertapis?
Mohon Ya Allah..kekalkan aku di sini
Insan itu..
Sang pembawa cahaya
Menerangi gelapnya hati
Kenalkan aku pada ukhwah
Ajarkan aku tentang usrah
Dia..
Yang berusaha ikat hati kami
Untuk bersatu demiNya..
Kelembutannya dia..
Bikin kami tak sanggup berpisah
Sanah helwah kak Nur Afiqah
Naqibah hebat dalam dunia tarbiyah saya
Jaga diri jaga iman jaga kami..
Peluk cium utk akak..

walau usrah dah dirombak tapi kami masih setia bersama
on the way to GUANGZHOU

Insan yang Allah kirimkan untuk kami

Friday, January 18, 2013

Sabar.Redha.Tawakal

Siapa di hujung sudut itu?
Terduduk lesu memandang dinding
Terdiam bisu menunduk lantai
Terperuk lemah memendam rasa

Ya, akulah di hujung sudut itu
Bukan lesu kerana mengalah
Tetapi kerana mahu mencari kerehatan
Setelah penat keringat diperah

Ya, akulah di hujung sudut itu
Bukan bisu kerana menyerah
Tetapi kerana mahu mencari kesabaran
Setelah lama melayan kerenah

Dan ya, akulah di hujung sudut itu
Bukan lemah kerana amarah
Tetapi kerana mahu mencari penyelesaian
Setelah bertubi dugaan menyergah

Ya, itu aku,
Aku tidak mengalah,
Jauh sekali melarikan diri,
Tapi aku sedang melatih diri untuk tabah,
Melatih diri untuk sabar,
Mendidik diri untuk redha,
Mengajar diri untuk tawakal.

Musibah itu,
Kepayahan itu,
Kesedihan itu,
Kepenatan itu,
Kekosongan itu,
Semuanya Allah yang hantar,
Kerana DIA sayang hambaNya.

Nikmat itu,
Kebahagiaan itu,
Kekayaan itu,
Kejayaan itu,
Kerehatan itu,
Kebasahan itu,
Semuanya Allah juga yang kirim,
Kerana DIA sayang hambaNya.

"Dan aku di jejak tanah air, diuji dengan nikmat dan musibah
Yang berterusan menguji sabarnya aku, redhanya aku, tawakalnya aku
Yang berterusan menguji cintanya aku, sayangnya aku, ikhlasnya aku
Dan sekarang, perlahan-lahan aku letakkan diri aku sebagai petualang dan pejuang di medan ini
Kerana aku tahu kepayahan sekarang inilah,
Yang akan menjadi harta bernilai aku,
Modal untuk aku beli cinta Allah,
Modal untuk aku suburkan cinta pada Rasulullah.
Dan bayaran untuk aku beli tiket syurga,
yang bukannya sesen dua."

P/S dan menjaga mak adalah anugerah Allah untuk aku. Tika ini aku sedang melatih sabar, mendidik hati agar tiada amarah, mengajar diri untuk memperbaharui niat tiap hari, mencari kebasahan.
Ya, tika ini memang penat tapi aku harap kepenatan dunia, menjadi kerehatan akhirat.
Moga Allah beri mak kekuatan dan terus beri kesabaran padanya untuk hadapi sakitnya.

DUNIA TIDAK PERNAH MEMINTA MANUSIA UNTUK MENJUNJUNGNYA
AKHIRAT TIDAK PERNAH MEMINTA UNTUK MEMBIMBITNYA
TAPI... MANUSIA HARUS!
MENJUNJUNG AKHIRAT, MEMBIMBIT DUNIA
APABILA GOYAH AKHIRAT DALAM JUNJUNGAN,
LEPASKAN DUNIA UNTUK MENYOKONG AKHIRAT.