Kehidupan aku berjalan tiada henti
Terus menjadi hamba patuh diperintahi
Dugaan datang silih berganti
Diri lemah terus teruji
Dia depan mata tapi semangat tiada
Dia bicara tapi bahagia tiada
Dia makan minum tapi selera tiada
Dia ada tapi seolah tiada
Dia wujud tapi aku rasa hilang dia
Siapa dia?
Ibu tercinta.
Lumpuh.
Sakit.
Berbulan-bulan.
Hingga kini.
Aku tahu dia depan mata
Aku dengan dia bicara bersuara
Tapi hati aku hati dia menangis berdiam
Berharap dia kembali sediakala
Dia sedar ketawa gembira
Tapi kerap sedih meratap jua
Aku di sisi meruntun hiba
Hilang arah cara menenangkan dia
Aku rindu dia
Walau dia depan mata
Tapi dia seolah tiada
Terbaring lesu tidak bermaya
Aku rindu masakan dia
Aku rindu belaian dia
Aku rindu semangat dia
Aku rindu ketawa ikhlas dia
Aku rindu berjalan dengan dia
Aku rindu itu semua
Aku tinggalkan dia dengan hati kelam berat
Tak sanggup dia hilang dari pandangan perit
Tapi tanggungjawab masih teguh di bahu menjerut
Dan aku tetap pergi demi dia
"Pulangnya aku ke Malaysia bukan semata-mata kerana cuti semester tapi dengan niat untuk di sisi mak dan menjaga dia sebaik mungkin. Aku rindu dan benar aku rindu. Aku rindu peluk cium dia. Aku rindu semangat dia. Aku harungi musim peperiksaan aku untuk pertama kali tanpa kata-kata semangat dia. Tanpa panggilan telefon dia saban pagi mengejutkan aku untuk belajar awal pagi. Hampir 4 bulan aku rasa kehilangan. Kehilangan sentuhan seorang ibu yang sebelum ini menguatkan aku. Di Malaysia, masa aku hanya untuk menjaga mak. Tiada masa berfoya-foya dan tiada masa mengeluh penat. Letih, lesu tapi aku bahagia. 1bulan menunaikan tanggungjawab sebagai anak, aku diuji bukan sahaja fizikal tapi mental kebanyakannya. Sabar aku teruji. Sangat teruji. Saban hari aku menangis kerana kurangnya sabar dalam diri.
Sekarang aku sudah kembali di Beijing. Dan aku rindu rutin menjaga mak. Pagi pukul5 sudah sedia bangun uruskan mak. Dan tugas aku tak berhenti sehingga pagi esoknya. Berterusan. Tiada henti. Tidur tak menentu. Makan kucar-kacir. Tapi aku gembira."